Tuesday, May 20, 2014

Wuduk orang sakit



Mazhab Maliki.

Perkara-Perkara Yang Membatalkan Wudhu’ Dalam Mazhab Maliki
Selain daripada itu perlu juga diketahui dan difahami betul-betul perkara-perkara
yang membatalkan wudhu’ dalam mazhab Maliki, kerana setengahnya mempunyai
perbezaan dengan perkara-perkara yang membatalkan wudhu’ dalam mazhab
Syafi‘e. Menurut ulama mazhab Maliki, perkara-perkara yang membatalkan wudhu’
adalah seperti berikut:

i. Keluar sesuatu yang biasa keluar dari qubûl (kemaluan) dan dubur, iaitu air
kencing, air mazi, air wadi, air mani, air tetuban, darah istihâdhah, tahi dan
angin.

ii. Hilang akal dengan sebab gila, pitam, mabuk ataupun dengan sebab tidur
yang lena. Di antara tanda-tanda tidur yang lena itu ialah orang yang tidur
itu tidak lagi mendengar suara-suara di sekelilingnya, mengalir air liur
daripada mulutnya ataupun terlepas sesuatu dari genggamannya.

iii. Apabila seorang yang baligh menyentuh lawan sejenis (antara laki-laki dan
perempuan) dengan perasaan nikmat (syahwat). Akan tetapi mengucup
pada mulut boleh membatalkan wudhu’ walaupun tanpa ada perasaan
nikmat.

iv. Apabila seorang laki-laki baligh menyentuh kemaluannya dengan tapak
tangannya atau tepi tangannya atau hujung jarinya, tanpa berlapik. Tetapi
tidak membatalkan wudhu’ seorang perempuan yang menyentuh
kemaluannya (farj).

v. Murtad.

vi. Merasa ragu setelah berwudhu’ adakah masih suci atau sudah batal,
kecuali bagi orang yang mempunyai penyakit was-was.
Perkara Yang Perlu Dilakukan Apabila Sembuh
Seorang yang bersuci melalui kaedah yang telah diterangkan apabila sembuh
daripada penyakit atau luka yang dihidapinya, dan dia masih dalam keadaan suci
daripada hadas, maka hendaklah dia membasuh bekas anggota yang sakit itu
dengan segera tanpa bertangguh, supaya tidak meluputkan rukun muwâlah yakni
berturut-turut tanpa bertangguh.


BERTAQLID KEPADA SELAIN MAZHAB SYAFI‘E

Bagi orang yang mempunyai kesulitan atau kesukaran untuk mempraktikkan apa
yang menjadi tuntutan dalam mazhab Syafi‘e bolehlah dia mencari alternatif yang
lain yang mudah baginya dengan bertaqlid kepada pandangan mazhab Hanafi atau
Maliki atau Hanbali. Dengan syarat, hendaklah dia belajar dan memahami betul-betul perkara-perkara yang berkaitan dengan wudhu’ mengikut pandangan mazhab-mazhab
yang disebutkan yang hendak diikutinya.


No comments:

Post a Comment